Kuih Kelantan

Kuih Buah, Talam,Puding,Segera,Anika Nasi Dan Lain2 Asli Dari Kelantan

Mujahadah melawan nafsu

| 0 comments

Mujahadah melawan nafsu

 

ANTARA petanda kemusnahan sahsiah masyarakat dan umat ialah apabila mereka begitu mudah mengikut hawa nafsu. Mereka akan berusaha memenuhi segala kehendak hawa nafsu dan akan menghapuskan segala rintangan yang menghalang mereka daripada memperoleh apa yang dikehendaki.
Sabda Rasulullah SAW : Musuhmu yang paling ganas ialah nafsumu sendiri yang berada antara dua sisimu.” (riwayat Al-Baihaqi)
Mengikut Sheikh Said Hawa, melawan hawa nafsu bermaksud menundukkan nafsu agar ia mengikut kehendak Allah SWT dalam setiap perkara. Apabila nafsu dapat dikalahkan, seseorang akan mengutamakan perkara yang dicintai Allah SWT dan mengetepikan kehendak peribadi.
Sementara di dalam Ihya Ulumuddin, Imam Al-Ghazali berkata, antara tanda kecintaan hamba kepada Allah ialah dia mengutamakan perkara yang disukai Allah daripada kehendak nafsu serta peribadi, sama ada dalam aspek zahir atau batin.
Oleh itu, seseorang yang mencintai Allah SWT sanggup memikul kerja-kerja yang sukar serta sanggup melawan hawa nafsunya semata-mata kerana-Nya.
Menentang nafsu
Antara perkara utama yang ditekankan oleh al-Quran bagi menentang hawa nafsu yang mendorong kepada kejahatan dan maksiat kepada Allah SWT ialah dengan menunaikan ibadah solat. Ia jika dilakukan dengan konsisten dan penuh harapan untuk mendapatkan keredaan-Nya, maka ia akan menghasilkan satu kekuatan luar biasa untuk menghadapi godaan hawa nafsu.
Maka tindakan menentang nafsu untuk menunaikan fardhu solat pada waktu-waktu yang ditetapkan itu menjadi asas yang teguh bagi kesempurnaan yang diidamkan. Sebaliknya Allah SWT memberi amaran kepada mereka yang mencuaikan perintah solat dan sentiasa mengikut hawa nafsu.
Firman Allah SWT: Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka). (Maryam: 59)
Sesungguhnya jiwa dan diri manusia itu memerlukan masa yang panjang untuk membetulkan tabiat dan sikap mereka sehingga mereka mempunyai tenaga yang cukup untuk membendung hawa nafsu. Umpamanya untuk menundukkan perasaan tamak haloba memerlukan perjuangan yang panjang.
Seandainya sasaran untuk dicapai oleh jiwa manusia itu ialah suatu peringkat dan keadaan di mana mereka mencintai kebaikan, merasai kelazatannya dan membenci kejahatan serta mengejinya, maka ia memerlukan perjuangan yang kental untuk mencapainya.
Firman Allah SWT: Kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta diperhiaskannya dalam hati kamu dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: Perkara-perkara yang kamu benci, mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus. (al-Hujurat: 7)

 

 

Dikawal
Sifat hawa nafsu itu perlu dikawal, disekat dan ditentang. Keadaannya berbeza di antara seorang dengan seorang yang lain. Di sana terdapat pelbagai sifat manusia antaranya cintakan diri, cintakan wanita, cintakan harta, cintakan nama dan kemasyhuran. Ini adalah contoh-contoh jenis naluri yang kebiasaannya dimiliki oleh manusia.
Ada orang yang mencintai dirinya dan tidak lagi dapat dan mahu melihat orang lain. Ada pula orang yang sangat mencintai harta kekayaan, sehingga malam dan siang bertungkus-lumus mengumpulkan harta. Walau bagaimanapun, tamaknya kepada harta, itu bukanlah pula untuk membelanjakannya sebagaimana tuntutan agama.
Seseorang itu tidak akan berjaya dalam pertarungan jihadnya melainkan apabila dia melatih dirinya dengan menentang hawa nafsunya dan berjalan terus menuju jalan yang lurus dalam keadaan sabar dan tabah.
Petikan diambil daripada Naim Qlate

Leave a Reply

Required fields are marked *.